Perniagaan Francais
Perniagaan
francais merupakan suatu pendekatan yang membuka jalan termudah bagi seseorang
individu atau syarikat untuk menceburi dalam bidang perniagaan. Perniagaan
francais meliputi semua jenis perniagaan berangkaian yang memenuhi ciri asas 3S
iaitu sistem (system), pengkhususan (specialization) dan piawaian
(standardization). Perniagaan francais, sebenarnya, telah lama wujud di negara
kita, Malaysia. Namun, amalan perniagaan Malaysia yang berasaskan konsep
francais masih tidak menggalakkan. Ini bermakna peluang untuk maju serta
berkembang dalam bidang perniagaan francais di Malaysia adalah cerah; banyak
lagi yang boleh diterokai. Kerajaan Malaysia telah memainkan peranan yang aktif
serta memberi sokongan padu kepada pembangunan perniagaan ini.
(a) Definisi Perniagaan
Francais
Perniagaan
francais boleh ditakrifkan sebagai suatu pendekatan perniagaan di mana syarikat
induk (francaisor) memberi lesen atau hak kepada individu atau syarikat lain
(francaisi) untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang berlandaskan suatu
kaedah tertentu, di lokasi atau kawasan yang ditetapkan dan dalam jangka masa
yang ditentukan.
Dengan
perkataan lain, perniagaan francais merupakan suatu bentuk perniagaan yang
berkontrak di antara francaisor dan francaisi yang menggariskan tanggungjawab
dan tugas kedua-dua pihak, yang membenarkan fungsi-fungsi pemasaran produk
dipiawai dan diselaraskan tanpa penduaan dan peniruan (duplication).
(b) Francaisor dan Francaisi,
Hubungan Antara Kedua Pihak
Syarikat perniagaan / Pemilik francais yang memberi lessen /
kebenaran dan hak kepada individu atau syarikat lain untuk mengeluar dan
menjual produknya, menggunakan jenama atau simbolnya, mengamalkan kaedahnya dan
lain-lain yang berkaitan dengan perniagaan dikenali sebagai francaisor.
Francaisi
pula merupakan syarikat atau individu yang mendapat lesen / kebenaran dan hak
untuk mengeluar dan menjual produk, menggunakan jenama atau simbol, mengamalkan
kaedah dan lain-lain yang berkaitan dengan perniagaan francaisor.
Pihak
francaisor dan pihak francaisi diikat oleh kontrak / perjanjian francais yang
telah dipersetujui bersama. Dengan itu, francaisor mengizinkan francaisi
menjalankan perniagaan yang serupa dengannya dari semua aspek. Sebagai balasan,
francaisi perlu membayar royalti setiap tahun kepada francaisor.
(c ) Kelebihan dan Kelemahan Perniagaan
Francais
Seperti
bentuk-bentuk perniagaan yang telah dibincangkan terlebih dahulu, perniagaan
francais tentu sekali memberi kelebihan dan juga kelemahan kepada kedua-dua
pihak yang terlibat iaitu francaisor dan francaisi. Antaranya:
i. Kelebihan
Perniagaan Francais Kepada Francaisor
Perniagaan
francaisor dapat berkembang serta bertumbuh dengan pesat kerana sistem
pengurusan dan modal perniagaan cawangan diurus di atas tanggungjawab francaisi.
Ini secara tidak langsung memudahkan pihak francaisor memperluaskan pasaran
untuk produknya. Tambahan bayaran royalti yang tetap, bayaran asas, caj
perkhidmatan pengurusan dan sebagainya akan menambahkan keuntungan perniagaan
francaisor.
ii. Kelebihan
Perniagaan Francais Kepada Francaisi
Francaisi
dapat memulakan perniagaan dengan risiko perniagaan yang rendah. Francaisi
berpeluang memperdagangkan produknya berdasarkan suatu sistem yang lengkap dan
terbukti berdaya maju / keberkesanannya. Contoh: Pihak francaisi akan
menggunakan jenama produk, bahan mentah untuk mengeluarkan produk serta
prosedur pengurusan perniagaan sebagaimana yang telah ditetap dan diamalkan
oleh francaisor.
Selain itu,
francaisi juga mendapat bantuan kewangan, khidmat sokongan dan latihan daripada
francaisor untuk tujuan membangunkan struktur pengurusan dan premis perniagaan
francaisi.
Disebalik
kebaikan tentunya juga kedapatan kelemahan perniagaan francais yang terpaksa
dihadapi oleh pihak francaisor dan francaisi. Antaranya:
i. Kelemahan
Perniagaan Francais Kepada Francaisor
Francaisor
adalah bertanggungjawab ke atas kewujudan, perkembangan dan daya saing
perniagaan francaisi. Francaisor perlu memberikan bantuan kewangan dan khidmat
sokongan kepada pihak francaisi bukan sekadar di peringkat awal tempoh
francaisi memulakan perniagaan, bahkan untuk seumur hidup perniagaan francais
itu dikendalikan oleh francaisi.
Apabila
francaisi gagal untuk mematuhi segala prosedur perniagaan sebagaimana yang
telah ditetapkan oleh francaisor seperti garis panduan mengenai mutu produk,
tentu sekali nilai nama atau reputasi francaisor akan terjejas.
Pihak
francaisor pula mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menangani masalah
penipuan seperti bayaran royalti, bayaran caj perkhidmatan, peniruan dan
kebocoran formula produk dan sebagainya apabila cawangan francais pihak
francaisor bertambah dan berkembang pesat. Kegagalan francaisor menangani
masalah sedemikian boleh mengakibatkan kemusnahan ikatan pemfrancaisan.
ii. Kelemahan
Perniagaan Francais Kepada Francaisi
Penglibatan
serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk
kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh
pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti
dan innovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.
Tambahan,
pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk
perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan
memasuki pasaran seperti ini.
Francaisi
juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak.
Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak
pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian
perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun. Apabila perniagaan
francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor
mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri. Tindakan pihak francaisor
sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk
membangunkan perniagaannya.