Tuesday 4 November 2014

Perniagaan Francais

Perniagaan  Francais
Perniagaan francais merupakan suatu pendekatan yang membuka jalan termudah bagi seseorang individu atau syarikat untuk menceburi dalam bidang perniagaan. Perniagaan francais meliputi semua jenis perniagaan berangkaian yang memenuhi ciri asas 3S iaitu sistem (system), pengkhususan (specialization) dan piawaian (standardization). Perniagaan francais, sebenarnya, telah lama wujud di negara kita, Malaysia. Namun, amalan perniagaan Malaysia yang berasaskan konsep francais masih tidak menggalakkan. Ini bermakna peluang untuk maju serta berkembang dalam bidang perniagaan francais di Malaysia adalah cerah; banyak lagi yang boleh diterokai. Kerajaan Malaysia telah memainkan peranan yang aktif serta memberi sokongan padu kepada pembangunan perniagaan ini.
(a)       Definisi Perniagaan Francais
Perniagaan francais boleh ditakrifkan sebagai suatu pendekatan perniagaan di mana syarikat induk (francaisor) memberi lesen atau hak kepada individu atau syarikat lain (francaisi) untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang berlandaskan suatu kaedah tertentu, di lokasi atau kawasan yang ditetapkan dan dalam jangka masa yang ditentukan.
Dengan perkataan lain, perniagaan francais merupakan suatu bentuk perniagaan yang berkontrak di antara francaisor dan francaisi yang menggariskan tanggungjawab dan tugas kedua-dua pihak, yang membenarkan fungsi-fungsi pemasaran produk dipiawai dan diselaraskan tanpa penduaan dan peniruan (duplication).
(b)       Francaisor dan Francaisi, Hubungan Antara Kedua Pihak
Syarikat perniagaan / Pemilik francais yang memberi lessen / kebenaran dan hak kepada individu atau syarikat lain untuk mengeluar dan menjual produknya, menggunakan jenama atau simbolnya, mengamalkan kaedahnya dan lain-lain yang berkaitan dengan perniagaan dikenali sebagai francaisor.
Francaisi pula merupakan syarikat atau individu yang mendapat lesen / kebenaran dan hak untuk mengeluar dan menjual produk, menggunakan jenama atau simbol, mengamalkan kaedah dan lain-lain yang berkaitan dengan perniagaan francaisor.
Pihak francaisor dan pihak francaisi diikat oleh kontrak / perjanjian francais yang telah dipersetujui bersama. Dengan itu, francaisor mengizinkan francaisi menjalankan perniagaan yang serupa dengannya dari semua aspek. Sebagai balasan, francaisi perlu membayar royalti setiap tahun kepada francaisor.

(c )      Kelebihan dan Kelemahan Perniagaan Francais
Seperti bentuk-bentuk perniagaan yang telah dibincangkan terlebih dahulu, perniagaan francais tentu sekali memberi kelebihan dan juga kelemahan kepada kedua-dua pihak yang terlibat iaitu francaisor dan francaisi. Antaranya:
i.          Kelebihan Perniagaan Francais Kepada Francaisor
Perniagaan francaisor dapat berkembang serta bertumbuh dengan pesat kerana sistem pengurusan dan modal perniagaan cawangan diurus di atas tanggungjawab francaisi. Ini secara tidak langsung memudahkan pihak francaisor memperluaskan pasaran untuk produknya. Tambahan bayaran royalti yang tetap, bayaran asas, caj perkhidmatan pengurusan dan sebagainya akan menambahkan keuntungan perniagaan francaisor.
ii.         Kelebihan Perniagaan Francais Kepada Francaisi
Francaisi dapat memulakan perniagaan dengan risiko perniagaan yang rendah. Francaisi berpeluang memperdagangkan produknya berdasarkan suatu sistem yang lengkap dan terbukti berdaya maju / keberkesanannya. Contoh: Pihak francaisi akan menggunakan jenama produk, bahan mentah untuk mengeluarkan produk serta prosedur pengurusan perniagaan sebagaimana yang telah ditetap dan diamalkan oleh francaisor.
Selain itu, francaisi juga mendapat bantuan kewangan, khidmat sokongan dan latihan daripada francaisor untuk tujuan membangunkan struktur pengurusan dan premis perniagaan francaisi.
Disebalik kebaikan tentunya juga kedapatan kelemahan perniagaan francais yang terpaksa dihadapi oleh pihak francaisor dan francaisi. Antaranya:
i.          Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisor
Francaisor adalah bertanggungjawab ke atas kewujudan, perkembangan dan daya saing perniagaan francaisi. Francaisor perlu memberikan bantuan kewangan dan khidmat sokongan kepada pihak francaisi bukan sekadar di peringkat awal tempoh francaisi memulakan perniagaan, bahkan untuk seumur hidup perniagaan francais itu dikendalikan oleh francaisi.
Apabila francaisi gagal untuk mematuhi segala prosedur perniagaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh francaisor seperti garis panduan mengenai mutu produk, tentu sekali nilai nama atau reputasi francaisor akan terjejas.
Pihak francaisor pula mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menangani masalah penipuan seperti bayaran royalti, bayaran caj perkhidmatan, peniruan dan kebocoran formula produk dan sebagainya apabila cawangan francais pihak francaisor bertambah dan berkembang pesat. Kegagalan francaisor menangani masalah sedemikian boleh mengakibatkan kemusnahan ikatan pemfrancaisan.
ii.         Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisi
Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan innovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.
Tambahan, pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini.
Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak. Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun. Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri. Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaannya.


1 comment:

  1. Sands Casino, Hotel & Spa, Las Vegas, Nevada, US
    Welcome to งานออนไลน์ Sands Casino, Hotel & Spa, septcasino a 3-minute drive from Sands Lake Tahoe. This worrione 4-star casino is a 3-minute drive from Sands Stateline

    ReplyDelete